Surah Al-Baqara
Dihalalkan
bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan
isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi
kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui
bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat
kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu
dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan
makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya
siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian
sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah
kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di
masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu
menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada
sekalian manusia supaya mereka bertakwa. / (187) Dan
janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di
antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan
harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan
(atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui (salahnya). (188) Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak
bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan
waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji dan
bukanlah perkara kebajikan: Kamu memasuki rumah dari bahagian
belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah
perbuatan orang yang bertakwa dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui
pintunya, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya. (189)
Dan
perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan
orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan
memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang menceroboh. (190)
No comments:
Post a Comment